Bimbang disaman, lelaki berlari ke sawah sewaktu lalui sekatan jalan raya

0
186

Oleh RIZQI ZABIDI

TINDAKAN seorang lelaki yang tiba-tiba keluar dari kenderaannya dan melarikan diri ke sawah padi ketika diarahkan untuk berhenti ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan Alor Mengkudu, Alor Setar semalam mengundang rasa curiga pihak berkuasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu mendorong anggota polis bertugas mengejar dan menahannya di tengah sawah.

“Pemeriksaan dijalankan terhadapnya tidak menemukan sebarang sebarang barang salah. Selain itu kereta dipandunya juga tidak memiliki rekod hilang.

“Semakan lebih lanjut mendapati dia tidak memiliki rekod kesalahan lampau. Hasil temu bual kemudiannya mendedahkan yang dia sebenarnya melarikan diri hanya semata-mata kerana tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Kejadian itu turut dirakam orang awam dan menjadi tular di media sosial, Tik Tok.

Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, lelaki tersebut memaklumkan yang dia bimbang dikenakan saman kerana tidak bekerja.

“Setelah berpuas hati dengan penjelasan diberikan, atas budi bicara pihak polis membenarkannya pulang apatah lagi dia hanya tinggal di kawasan berhampiran.

“Begitu pun, dia diberikan amaran agar tidak mengulangi tindakan sama selepas ini,” katanya.

Tambahnya, satu laporan polis turut dibuat berkaitan kejadian itu dan pihaknya menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan anggota bertugas ketika melalui sekatan jalan raya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here