Najib tak sedia, mohon beri keterangan kes Shahrir 5 Januari ini

DATUK Seri Najib Razak tidak bersedia untuk memberikan keterangan hari ini sebagai saksi pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram dihadapi bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad.

Shahrir didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Di awal prosiding hari ini, bekas Perdana Menteri itu yang memakai sut lengkap berwarna biru memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau tidak bersedia memberikan keterangan secara lisan tanpa kehadiran peguam pemerhati, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

“Saya mohon keterangan saya diberikan pada 5 Januari ini, pada masa itu peguam saya (Muhammad Shafee) ada, kerana adalah penting untuk peguam saya ada bersama saya,” katanya memetik laporan BH Online.

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi meminta penjelasan Najib berhubung keberadaan Muhammad Shafee yang diberitahu Najib bahawa peguam pemerhatinya mempunyai urusan lain di luar Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Rasyidah Murni berkata, pendakwaan menyerahkan kepada perimbangan mahkamah untuk membuat keputusan.

Sementara itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Shahrir berkata pihaknya tiada sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian membenarkan permohonan Najib untuk memberikan keterangan pada 5 Januari depan kerana beliau tidak bersedia memberikan keterangan secara lisan tanpa kehadiran peguamnya.

Shahrir dituduh mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014.

Perbicaraan di hadapan Muhammad Jamil bersambung dengan saksi ke-22 pendakwaan, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurzahidah Yacop disoal balas peguam bela Shahrir.