Perikatan Nasional cukup kerusi bentuk Kerajaan Persekutuan

0
251

PERIKATAN Nasional mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, tanpa kerjasama Pakatan Harapan (PH), kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee.

Memberitahu media di luar kediaman Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang ini beliau berkata beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) juga telah menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

SAPP adalah parti komponen Perikatan Nasional.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 semalam (19 November 2022) menyaksikan Perikatan Nasional memenangi 73 kerusi Parlimen, blok kedua terbesar selepas Pakatan Harapan dengan 82 kerusi, manakala BN memenangi 30 kerusi.

Gabungan antara Perikatan Nasional dan BN serta sokongan wakil rakyat parti lain dan Bebas akan membolehkan gabungan diketuai Muhyiddin itu membentuk Kerajaan Pusat. Demikian juga jika BN dan parti lain bergabung dengan PH.

Namun, ramai Ahli Parlimen UMNO yang tidak mahu bergabung dengan PH kerana tidak mahu dianggap pengkhianat kepada bangsa Melayu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari, berkata perbincangan mengenai pembentukan Kerajaan Persekutuan hampir selesai.

Beliau yang ditemui ketika meninggalkan kediaman Muhyiddin sebentar tadi, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here