Tindakan Ku Li bawa tuah kepada PN di Gua Musang

0
184

TINDAKAN Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li memilih berada diblok bebas membawa tuah kepada Perikatan Nasional (PN) apabila berjaya ‘merobohkan’ kubu kuat BN di Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Datuk Mohd Azizi Abu Naim yang baru diberi mandat sebagai Ahli Parlimen kawasan itu berkata, tindakan Ku Li berbuat demikian seakan-akan menafikan hak rakyat Gua Musang.

“Ahli Parlimen yang sepatutnya duduk di blok kerajaan tetapi memilih untuk berada di blok pembangkang, itu antara faktor penolakan terhadap BN pada PRU-15 kali ini.

“Kami (PN) mewujudkan gelombang pembaharuan dengan menguar-uarkan pada rakyat untuk menolak kepimpinan Ku Li,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang berkata, rakyat sudah lama inginkan perubahan di Gua Musang dan sehingga sekarang sepanjang pemerintahan di bawah BN ia tidak berlaku.

Ujarnya, sebagai permulaan selepas diberi mandat oleh rakyat, beliau akan mengenal pasti keperluan serta kemudahan infrastruktur yang diperlukan di sini.

Tambah Mohd Azizi, dengan itu beliau akan berhubung dengan semua agensi kerajaan bagi merealisasikan perkara tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kemenangannya di Parlimen tersebut adalah rezeki buatnya serta rakyat Gua Musang.

“Syukur Alhamdulillah, bukan mudah untuk menang di kubu kuat BN ini namun peluang yang diberikan oleh rakyat tidak akan dipersiakan,” katanya.

Mohd Azizi mewakili PN menang majoriti tipis iaitu hanya 163 undi sahaja mengalahkan bekas penyandang, Ku Li (BN).

Beliau memperolehi 21,826 undi manakala Ku Li 21,663, Asharun Uji (PH) 4,517 dan Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (GTA) 371.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here