Sambutan pengundi baharu cukup baik di Gombak – Azmin

0
203

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu mendapat sambutan yang amat baik walaupun dengan tambahan seramai 70,000 pengundi baharu.

Katanya, mendekati pengundi baharu agak mencabar namun menerima sokongan yang baik daripada mereka setelah beliau sedaya upaya memberi khidmat bakti yang terbaik di Gombak.

“Alhamdulillah saya lihat sambutan cukup baik, memandangkan kehadiran saya di Gombak ini telah saya cuba sedaya upaya saya, untuk memberikan khidmat bakti yang terbaik.

“Bukan sahaja pembangunan infrastruktur, tetapi saya akan membentuk Gombak sebagai kawasan yang maju,” katanya ketika ditemui pemberita  di Himpunan Rakyat PN Best di Taman Keramat, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Dalam pada itu jelasnya, selain membangunkan infrastruktur dan prasarana yang menjana ekonomi, peluang pekerjaan yang berkualiti bagi anak muda di Gombak akan terus menjadi keutamaannya.

“Ini penting bukan sahaja sekolah, perumahan, masjid tetapi juga peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak muda di Gombak dan pekerjaan yang berkualiti supaya mereka dapat menjamin masa depan yang lebih baik untuk keluarga mereka,” katanya lagi.

Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN merupakan penyandang bagi kerusi Parlimen Gombak yang dimenanginya pada PRU-14 lalu, dengan majoriti 48,721 undi.

Beliau berdepan saingan lima penjuru dalam usaha beliau mempertahankan Parlimen Gombak. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here