BERSATU pertahan kestabilan negara

Kestabilan itu mula diganggu-gugat dari dalam kerajaan sendiri apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

0
174

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadi anggota Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU-14 dengan satu tujuan untuk menyelamatkan negara daripada kerosakan yang dibuat oleh kerajaan kleptokrat Barisan Nasional (BN).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkta, pada masa yang sama, sebagai sebuah parti politik pribumi yang juga turut disertai oleh orang bukan Melayu sebagai ahli bersekutu, BERSATU mempunyai dasar perjuangan yang sederhana atau moderate sesuai dengan realiti Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Katanya, perlembagaan BERSATU menetapkan perjuangan BERSATU antara lain adalah untuk:

Mempertahankan hak keistimewaan Bumiputera dan hak-hak yang sah bagi semua kaum;

Memelihara Agama Islam sebagai Agama Persekutuan serta menjamin hak semua individu untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing;

Menjunjung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu; dan

Mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin hak kaum-kaum lain untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, dengan mengamalkan dasar perjuangan parti yang moderate inilah BERSATU dapat menjamin kestabilan negara dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

“Inilah amalan di negara kita sejak zaman berzaman yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, makmur dan stabil,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menambah, namun, apabila PH menjadi kerajaan, kestabilan itu mula diganggu-gugat dari dalam kerajaan sendiri.

“Saya yang berada di dalam Majlis Presiden PH dan Kabinet Kerajaan PH melihat sendiri apa yang berlaku di depan mata saya,” katanya.

Beliau menambah, ada agenda tertentu yang dibawa oleh DAP yang dominan di dalam PH dan perkara-perkara itu ada kaitan pula dengan tugasnya selaku Menteri Dalam Negeri pada waktu itu.

“Antaranya ialah tindakan DAP menggesa supaya Akta Hasutan dimansuhkan. Selaras dengan Manifesto PH untuk mengkaji undang-undang yang dikatakan zalim, saya telah menubuhkan sebuah jawatankuasa di KDN yang dianggotai oleh pakar-pakar untuk mengkaji cadangan ini.

“Jawatankuasa ini kemudiannya melaporkan kepada saya bahawa Akta Hasutan tidak boleh dimansuhkan begitu sahaja kerana ia melibatkan kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Akta ini, adalah menjadi suatu kesalahan bagi mana-mana pihak untuk menimbulkan kebencian terhadap Raja-Raja Melayu dengan tujuan untuk menghasut. Bertindak atas nasihat pakar, saya menangguhkan pemansuhan Akta Hasutan sehingga kajian yang lebih terperinci dibuat,” katanya.

Bagaimanapun jelas Muhyiddin, pemimpin DAP mengecamnya secara terbuka kerana kononnya saya gagal memansuhkan Akta Hasutan.

“Sedangkan apa yang saya buat ialah mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu yang selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan asas perjuangan BERSATU yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Saya tahu jika saya turuti kehendak DAP, institusi Raja-Raja Melayu akan terdedah kepada penghinaan, keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia akan tergugat dan kestabilan negara kita akan terancam.

“Walau apapun tuduhan yang mereka lemparkan terhadap saya dan pimpinan lain dalam BERSATU, kami tegas mempertahankan kestabilan negara. Inilah dasar perjuangan kami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here