Bubar parlimen demi menyelamatkan kes mahkamah – Faiz Na’aman

0
334

KEPUTUSAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri membubarkan parlimen pada petang Ahad tidak ubah seperti langkah terdesak parti UMNO selaku kerajaan demi menyelamatkan Presidennya Datuk Seri Zahid Hamidi daripada perbicaraan 47 kes berkaitan rasuah, pecah amanah dan gubahan wang haram.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Dr Faiz Na’aman berkata keputusan Perdana Menteri itu mempamerkan usaha untuk menyelamatkan pimpinan partinya yang dipenuhi ‘Kluster Mahkamah’.

“Kita tahu bahawa tarikh akhir untuk sesi bela diri Presiden UMNO untuk 47 kesnya itu adalah hujung November ini, di mana keputusan mahkamah untuk membebas atau menghukummnya adalah Disember tahun ini atau selewat-lewatnya Januari 2023.

“Dalam usaha serta helah untuk membebaskan diri mereka, maka Peguam Negara, jika bukan Ketua Hakim Negara mahu ditukar oleh kelompok tersebut secepat mungkin setelah dapat memegang tampuk pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Pas atau Bersatu menjadi tanda bahawa semak imbang tidak wujud dalam pentadbiran.

“Tidak hairanlah mengapa mereka menolak malah mengencam seruah ke arah Perpaduan Ummah oleh Pas dan Penyatuan Nasional oleh Bersatu.

“BN lupa siapa yang beri nyawa dan oksigen untuk mereka bernafas kembali dalam pentadbiran setelah kecundang ditolak majoriti rakyat dalam pilihanraya lalu,” katanya.

Menurut Faiz, keputusan membubarkan Parlimen sekaligus menyebabkan pilihanraya menjadi cerminan budaya parti ‘keramat’ itu.

“Politik rakus, hipokrit dan kuno yang terus menjadi budaya memperbodohkan rakyat seolah-olah cerminan guru yang mengajar anak muridnya untuk licik berkata-kata menggunakan nama rakyat jika bukan nama bangsa dan agama.

“Mereka rela bakar segala kelambu permuafakatan sesama bangsa hanya kerana taksub pemimpin tertinggi mereka,” jelasnya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here