PRU-15: Calon PN lalui saringan rapi

0
294

CALON Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan melalui proses saringan yang rapi bagi memastikan mereka bersih dan istiqamah.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan berkata, jentera pilihan raya dan penerangan BERSATU sudah dipersiap dari awal, malah Skuad Prihatin parti itu juga sudah dikerah untuk berdepan segala kemungkinan.

“Kita bersedia bukan saja untuk menyantuni rakyat mendepani PRU-15, tetapi juga membantu rakyat.

“BERSATU dan PN komited untuk menawarkan agenda prihatin rakyat, integriti dan kemakmuran bersama.

“Berjuanglah kita dalam keberkatan daripada Allah SWT. Bawalah mesej kebenaran kepada rakyat. Ajaklah rakyat menolak kemungkaran,” katanya dalam laporan Berita Harian.

Sementara itu, Wan Saiful mendakwa pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini membuktikan UMNO terlalu jauh terpisah daripada kehendak dan keperluan rakyat.

Dakwanya, pengumuman itu juga permulaan kepada langkah UMNO untuk mengangkat Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri.

“Rakyat perlu menilai sikap UMNO. Parti itu dipimpin oleh kluster mahkamah yang menolak dan merosakkan usaha perpaduan ummah,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat supaya membuat penilaian berdasarkan kecintaan kepada negara dan tanah air disertai tekad untuk membawa penambahbaikan kepada negara.

“Biarlah rasa cinta kepada negara itu membawa kita untuk membuat pilihan yang betul. Satu-satunya gabungan yang terbukti bersih dan menjaga kebajikan rakyat ialah PN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here