Manifesto PN menyeluruh, tingkatkan pendapatan peneroka Felda jadi tumpuan – Muhyiddin

0
283

MANIFESTO parti Perikatan Nasional bakal merangkumi semua bidang utama dan berpotensi menjadi tawaran yang baik terutamanya peneroka Felda di negeri Pahang.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata manifesto yang akan diberitahu kemudian akan menarik perhatian orang ramai terutamanya peneroka.

“Sewaktu saya memimpin negara, kita selesaikan hutang mereka, RM8.9 bilion sudah dihapuskan. Kemudian kita mengeluarkan sukup (Islamic bond) bernilai 9.9 bilion mengambil alih FGV dan sebagainya.

“Saya bagi jaminan kalau kita menang, kita akan beri lebih lagi dari apa kita telah buat agar nasib peneroka terbela dan pendapatan boleh meningkat. Kita tahu apa kita nak buat untuk peneroka Felda,” Katanya di sidang media selepas Mesyuarat PN Negeri Pahang, di Hotel Seri Malaysia, Temerloh, Pahang, hari ini.

Walaupun Pahang selalu dianggap sebagai ‘kubu’ BN, Muhyiddin berpendapat pengaruh parti tersebut tidak merisaukan PN.

“Dari laporan diterima rakan-rakan yang lebih mengetahui, tidaklah sebegitu (Pahang sebagai kubu BN). Semasa PRN dahulu BN tidak menang dengan kerusi yang besar.

“PAS sudah mula bertapak, ada ahli Bersatu di peringkat Parlimen, sudah ada perkembangan yang cukup baik dalam tempoh beberapa tahun lepas,” katanya.

Menurut beliau, kedudukan parti BN yang ditampar hebat oleh kes-kes mahkamah juga tidak menggambarkan cerminan sebenar orientasi rakyat di Pahang.

“Keyakinan rakyat kepada UMNO semakin runtuh, ini fakta yang didokong oleh kajian, lebih-lebih lagi kita tak tahu apa isu masalah BN yang menghadapi masalah integriti, disabitkan kes-kes mahkamah dengan rasuahnya, itu tidak boleh memberi gambaran yang boleh mengukuhkan kedudukannya,” katanya.

Dalam pada itu, penamaan calon akan diteliti dan berpotensi diumumkan lebih awal daripada tarikh penamaan calon.

“Di peringkat parti, sudah mula menyenaraikan calon. Kita ada jawatankuasa yang menapis di nama-nama calon peringkat pusat.

“Kita lihat siapa paling sesuai, soal latar belakang, kelayan, kelulusan, hubungan dengan masyarakat dan usaha mereka sebelum ini untuk dinilai oleh pengundi,” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here