Suspek culik Azie masih di Kelantan

0
921

POLIS percaya beberapa suspek yang disyaki terlibat dengan penculikan ejen jualan kosmetik Rosnazirah Mohd.Naim, 36, atau Azie masih berada di negeri ini dan usaha mengesan kesemua individu tersebut sedang giat dijalankan.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dua daripada suspek yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan.

Katanya, salah seorang daripada mereka adalah ketua sindiket dadah.

“Kita percaya kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan masih berada di negeri ini.

“Bagaimanapun, kita bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk membantu mengesan kesemua suspek yang dibimbangi melarikan diri ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam.

Muhamad Zaki berkata, polis sedang melakukan risikan untuk mengesan dan mematahkan sindiket berkenaan.

Katanya, sebelum ini tiga suspek yang ditahan diambil tindakan dibawah Langkah-langkah Pencegahan Khas dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Utusan Malaysia 4 Oktober lalu melaporkan, Azie, yang 17 hari menjadi mangsa culik dengan dilarikan ke Thailand pada 13 September lalu kembali ke pangkuan suami, anak dan keluarganya.

Azie tiba di rumah mentuanya di Jalan Kelochor di sini pada pukul 2.50 petang dengan diiringi Muhamad Zaki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here