BN ulang ‘silap besar’ 2018, kata bekas pembantu Najib

0
225

UMNO dan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN) dilihat kembali mengulangi kesilapan sama yang mengakibatkan gabungan itu tumpas pada pilihan raya umum 2018, kata bekas perunding komunikasi kepada Najib Razak.

Romen Bose, yang menulis buku mengenai kejatuhan BN, berkata: “Nampaknya orang dan kumpulan sama yang bertanggungjawab terhadap penjenamaan dan strategi pilihan raya yang membawa kepada kekalahan BN kembali melakukan (perkara sama).”

“Segelintir ahli politik lapuk masih mempunyai kepercayaan peribadi bahawa media sosial sekadar gembar-gembur dan yakin pertemuan dengan akar umbi, menganjurkan makan malam dan memberikan bantuan sudah cukup untuk memenangi sanubari dan minda pengundi.”

Mereka bercakap berdegar-degar mengenai keperluan berkomunikasi di media sosial, kata Bose, namun hakikatnya, “beberapa calon berpotensi malah tidak mempunyai halaman Facebook yang dikemas kini, apatah lagi kehadiran di platform media sosial”,lapor FMT.

Katanya, pengundi muda berkemungkinan menjadi penentu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, apabila diambil kira jumlah besar dalam golongan itu yang kini boleh mengundi, berbanding 2018.

Bose berkata, cara utama untuk mencapai mereka adalah menerusi platform dalam talian. Bukan lagi rahsia bahawa golongan pengundi ini tidak menggunakan media konvensional sebagai sumber maklumat, malah pempengaruh semuanya muncul dalam talian.

Bagaimanapun, BN dilihat kurang melakukan pelaburan dalam infrastruktur komunikasi dan strategi pengedaran media sosial sewajarnya.

“Tidak penting betapa bagus atau pentingnya mesej yang hendak disampaikan, jika ia tidak ditujukan kepada golongan sasaran untuk mendengar dan melihatnya.”

Mengulas mengenai situasi pembangkang, Bose berkata, mereka juga tidak dapat memberi tumpuan dan menghadapi kemarahan dan rasa tidak puas hati pengundi seperti yang pernah dilakukan pada 2018 dengan skandal 1MDB.

“Analisis kami mendapati golongan muda Malaysia hari ini mahukan lebih daripada bantuan dan makan percuma ketika pilihan raya. Mereka tidak dipacu kemarahan; mereka mempunyai cara pemikiran yang sangat praktikal.

“Mereka ingin tahu apa telah calon jayakan atau akan lakukan untuk mereka, dan apa yang akan dilaksanakan calon dan parti mereka,” katanya.

Bose berkata, golongan muda Malaysia juga ingin mengetahui bagaimana calon dapat “menambah baik kehidupan mereka dan keluarga mereka”.

“Adakah anda janjikan pengurangan signifikan dalam kos sara hidup, pekerjaan lebih baik dan banyak, selain ekonomi yang berkembang dan stabil, pendidikan dan peluang lebih baik?

“Jika anda tidak dapat menyampaikan mesej berkenaan, berkemungkinan golongan itu akan mengundi pihak yang dapat sampaikan (mesej),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here