Dilantik Pengerusi Manifesto BN Selangor, buka laluan Zafrul calon MB Selangor?

0
344

BARISAN Nasional (BN) Selangor terus mengatur langkah bagi merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan (PH) apabila melantik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Pengerusi Manifesto BN negeri itu berkuatkuasa awal bulan ini.

Pelantikan Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan memperkukuhkan lagi andaian bahawa beliau akan bertanding dalam PRU-15 di negeri berkenaan.

Setakat ini, Tengku Zafrul disebut-sebut akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor, bagaimanapun juga cakap-cakap beliau akan turut bertarung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut laporan Warta Rakyat, langkah itu dikatakan bertujuan membuka laluan kepada Tengku Zafrul dilantik menjadi Menteri Besar Selangor jika BN memenangi negeri itu dalam pilihan raya nanti.

Mengenai pelantikan Tengku Zafrul sebagai Pengerusi Manifesto BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Tengku Zafrul akan bekerjasama dengan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin yang mengetuai manifesto BN di peringkat pusat.

“Pelantikan ini sudah berkuat kuasa dan telah mula mengadakan mesyuarat,” kata Noh nya yang merupakan Pengerusi BN Selangor.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail, berkata pelantikan Tengku Zafrul tentunya memberi keyakinan kepada BN untuk mempersembahkan manifesto yang diyakini rakyat di negeri berkenaan.

Beliau turut menyifatkan pemilihan bendahari BN Selangor itu adalah pilihan tepat memandangkan Tengku Zafrul mempunyai kemampuan menilai dan memberi perkhidmatan terbaik serta kemampuan sebagai sebuah kerajaan negeri.

“Sudah pasti kehadiran Tengku Zafrul ini membantu BN bagi menghadapi PRU15 akan datang. Saya yakin dan percaya akan ada gerak kerja untuk memastikan kemenangan BN di Selangor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here