Ahli Parlimen DAP penyokong Azalina kini gesa beliau dipecat sebagai penasihat PM

0
227

AHLI Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham hari ini menggesa Datuk Seri Azalina Othman Said meletakkan jawatannya sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri berikutan kenyataannya baru-baru ini supaya Peguam Negara diganti, mengambil pendirian berbeza selepas tahun lalu pimpinan DAP menyokong ahli Parlimen UMNO itu.

Ngeh yang merupakan antara salah seorang ahli Parlimen DAP yang mempertahankan Azalina selepas UMNO gagal melantiknya sebagai Speaker Dewan Rakyat, hari ini berkata beliau terkejut dengan ucapannya pada Sabtu lalu.

“Jika dilihat pada konteks gesaan (Azalina) itu, beliau berkata PM perlu melantik seorang peguam negara yang akan bertindak mengikut telunjuk PM, termasuk menyalahgunakan kuasa peguam negara yang bertindak sebagai pendakwa raya untuk menarik balik pertuduhan terhadap mereka yang melakukan rasuah dan mereka yang menyalahgunakan kuasa, terutamanya pemimpin UMNO.

“Ini benar-benar bertentangan dengan kedaulatan undang-undang. Inilah sebab utama gesaan supaya peranan pendakwa raya dipisahkan daripada peguam negara sebagai penasihat undang-undang tertinggi kepada kerajaan,’’ katanya lapor MalaysiaNow.

Pada Sabtu, Azalina mempersoalkan mengapa Ismail tidak menukar Peguam Negara jika langkah itu berada dalam bidang kuasanya.

“Siapa jadi Perdana Menteri, dia mesti jadikan peguam negara orang dia,” katanya ketika menghadiri Taklimat Khas di mana beberapa pemberi ucapan  bergilir mengecam keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menghantar bekas perdana menteri Najib Razak ke penjara selepas gagal dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International.

Selepas Azalina gagal menyertai Kabinet Ismail tahun lalu, pemimpin DAP melancarkan kempen supaya beliau dicalonkan sebagai speaker.

Mereka yang berkempen, termasuk Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang secara terbuka menggesa Azalina diberi jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi portfolio hal ehwal undang-undang.

“Sebagai timbalan speaker beliau boleh berunding, dan rekod prestasinya menunjukkan dia juga turut melibatkan parti pembangkang,” kata Yeoh.

DAP kemudiannya memberi isyarat akan menyokong lantikan beliau sebagai speaker, dan menuduh speaker ketika ini, Azhar Harun menjadikan Parlimen sebagai “alat” kepada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here