‘’Dia nak gesel badan…tu dia punya pasal…BN tetap bergerak solo’’ – Tok Mat Hasan

0
189

KEPUTUSAN Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah muktamad, tegas Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tegas Timbalan Presiden UMNO itu, pendirian tersebut sudah ditetapkan walaupun ada parti tertentu yang masih cuba ‘menggesel-geselkan badan’ mereka kepada BN.

Bagaimanapun ketika bercakap dengan wartawan di Kuantan, Mohamad tidak menamakan parti terlibat sebaliknya meminta media menekanya sendiri.

“You tulislah apa yang you nak.. you tekalah. Saya dah kata tadi, parti telah buat dasar.. keputusan, peganglah itu. Walaupun ada orang menggesel-gesel badan ke apa, kita akan pergi berseorangan,” katanya selepas majlis perjumpaan bersama pimpinan BN Pahang, hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama parti itu, namun ia dilihat ditujukan kepada Pas berikutan terdapat segelintir pemimpin parti itu terus berusaha untuk bersama UMNO dalam PRU-15 biarpun Pas kini adalah anggota rasmi Perikatan Nasional (PN).

Mohamad ketika berucap berkata, keputusan untuk bergerak sendiri sudah diputuskan BN sebelum ini dan tidak perlu dipertikaikan lagi oleh sesiapa pun.

“Letih saya, berapa kali nak cakap, biar dia menggesel-gesel badan, dia tengah menggesel-gesel badan kat kita, dia nak menggesel badan ke dia nak apa ke, itu dia punya pasal. Jangan tergoda, jangan terlena dengan pujuk rayu, takkan selalu sangat kita nak kena tipu, berapa kali BN nak kena tipu?” katanya.

Mohamad turut mengingatkan semua jentera BN agar perlu bersedia kerana tarikh PRU ke-15 sudah terlalu hampir dan berkemungkinan akan diadakan dalam masa terdekat.

“Pilihan raya tak lama lagi, Perdana Menteri dah beri komitmen dia, tapi dia tak boleh berikan tarikh, (memanglah) takkan dia nak bagi tarikh kan? Sampai dia kata, takkan saya nak bawa sampai ke tahun depan, jadi jelas sangatlah, kalau pilihan raya tahun ini, takkan nak buat bulan 12 (Disember), kang berenang pula nak pergi mengundi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here