[VIDEO] Jentera PN sedia hadapi PRU15 – Perwakilan

0
1259

JENTERA Perikatan Nasional (PN) sentiasa bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Para perwakilan PN ketika ditemui SatuBerita di Konvensyen PN 2022 dan Sambutan Ulang Tahun PN Kedua di MAEPS Serdang, Selangor, bersetuju dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata parti itu bersedia untuk menghadapi PRU-15 bila-bila masa.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Hanafi Zulkapli berkata, walaupun PN bersedia, namun dalam sepenggal ini harapan parti adalah memberi perhatian dan bakti kepada rakyat.

Dalam pada itu katanya, kejayaan PN dalam berbakti kepada rakyat merupakan bukti parti itu berjaya mengekalkan integriti dalam pentadbiran.

“Tawaran yang Muhyiddin sebut iaitu prihatin rakyat dan integriti, ia antara produk yang mampu diketengahkan kepada rakyat. 

“PN terbukti dibawah kepimpinan Muhyiddin terbukti untuk mentadbir, dan terbukti untuk berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi berkata, kekuatan jentera PN di negeri-negeri, gabungan parti dalam PN terutamanya kawasan melayu sudah cukup kuat untuk menawarkan sesuatu yang baharu kepada rakyat.

Katanya, PN merupakan parti yang bermuafakat, berbeza dengan pakatan politik lain yang jelas wujud perbalahan dan konflik dalaman parti sekali gus menimbulkan keraguan rakyat.

“Yang kuat bermuafakat inilah yang mampu memikul amanah untuk menjadi pemimpin kepada rakyat dalam PRU akan datang,” katanya.

Muhyiddin pada Konvensyen PN 2022 berkata, adalah menjadi asas penubuhan sesebuah parti politik untuk menyertai pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yang Teck Lee; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Datuk Seri DR Jeffrey Kitingan serta kepimpinan yang lain.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda PN, Wong Chia Zhen berkata, kehadiran lebih 1,800 orang di majlis Konvensyen PN 2022 merupakan bukti kesiapsiagaan PN untuk menghadapi PRU-15.

“Ucapan pengerusi tadi telah sedikit sebanyak menaikkan semangat kita sebagai anggota PN. 

“Kita boleh lihat, segala usaha dan kerja-kerja yang telah dilakukan PN, kita memang selalu perang dengan tabiat buruk seperti penyelewengan yang memang tidak disenangi rakyat dan negara,” katanya.

Ketua Srikandi Bersatu Merbok, Shaqirah Muin berkata, akar umbi sudah pun membuat persediaan rapi untuk menghadapi PRU-15.

“Kami di akar umbi memang sudah bersiap sedia. Apa yang Pengerusi cakap itu memang betul, kami dah memang buat persediaan rapi untuk menghadapi PRU15,” katanya bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin.

Seorang lagi perwakilan, Ketua Srikandi Bersatu Pendang, Wana Abdullah berkata, ucapan Muhyiddin membangkitkan semangat para perwakilan dalam memastikan rakyat sentiasa dibela dan diberi perhatian, walaupun dalam kesediaan untuk menghadapi PRU-15.

“Muhyiddin sebagai pemimpin nak pastikan rakyat selesa dengan hidup tanpa masalah kemiskinan. Saya amat setuju dengan apa yang diucap oleh beliau, supaya kita dapat berjuang hapuskan kemiskinan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here