Remaja perempuan 14 tahun larikan bayi tiada masalah mental

0
267

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang mengesahkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang melarikan bayi dalam kejadian di Bukit Mertajam pada Selalu lalu tidak mempunyai sebarang masalah atau gangguan mental.

Sebaliknya kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, suspek utama berkenaan bertindak demikian hanya kerana tertarik dan mahu menjaga bayi perempuan berkenaan seperti anak sendiri.

Sehubungan itu tambah beliau, polis mendapati tiada unsur cuba menjual bayi berkenaan kepada mana-mana sindiket dalam kejadian penculikan tersebut.

“Hasil soal siasat mendapati, suspek tidak sakit sebaliknya datang daripada keluarga yang berpecah-belah dan tidak membesar seperti remaja lain,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga bayi berkenaan di rumah mereka di Taman Pauh, Bukit Mertajam hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang Selasa lalu, bayi berusia sembilan bulan itu dilarikan dari rumah pengasuhnya oleh remaja perempuan terbabit dengan sebuah motosikal.

Mangsa kemudian berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, suspek utama dan teman lelakinya yang berusia 18 tahun kini disambung reman selama empat hari sehingga 30 Ogos ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Jelas beliau, mereka akan didakwa di mahkamah manakala tiga lagi individu yang turut ditahan bersabit kes itu akan menjadi saksi pendakwaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here