Bina kekuatan PN atas nilai, prinsip sama – Tuan Ibrahim

0
284

PERIKATAN Nasional (PN) perlu berpegang kepada nilai dan prinsip yang sama tanpa mengira agama, bangsa atau faktor tempat bagi menghadapi cabaran mendatang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua parti adalah komponen penting dalam memastikan kemenangan Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) akan datang.

“Sama ada di Sabah hatta di Sarawak atau Semenanjung, kita punya titik-titik yang sama yang bangunkan dan melihat masa depan kita.

“Marilah kita berjuang bersama pada kalimah-kalimah yang sama antara kami dan kamu.

“Ini adalah titik pertemuan yang harus kita bina kekuatan diatasnya hingga mampu kita menyakinkan rakyat bahwa perikatan nasional adalah gabungan terbaik untuk PRU 15,” katanya berucap pada Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang, dekat sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, keikhlasan amat penting dalam perjuangan, oleh itu ahli politik perlu patuh dengan keputusan parti tanpa berkecil hati.

“Pas bersama rakan dalam kerajaan mendukung Rang Undang-Undang Antilompat yang dibentangkan di Parlimen dan kita juga ke arah mewujudkan pendanaan politik supaya negara menuju ke arah berintegriti dan bebas rasuah.

“Orang ramai memuji pokok yang hebat dengan buah-buah yang manis yang menarik, rimbunan daun-daunnya tapi yakinlah tanpa akar yang kukuh dan kuat tidak mungkin pokok itu boleh merimbun keudara,” katanya.

Beliau juga berpendapat tiga strategi perlu dimantapkan bersama bagi memastikan kemenangan.

Pertama ialah konvensyen diadakan hari ini sebagai persiapan bagi menghadapi PRU 15.

Kedua, katanya segala yang dibicarakan dalam konvensyen ini memerlukan tindakan lanjut, iaitu memperkasakan agenda bertindak di peringkat negeri, bahagian dan kawasan.

“Kita perlu menggarapkan kekuatan semua organisasi dan ketiga yang juga paling penting ialah kepatuhan kepada keputusan parti dalam menghadapi PRU 15.

“Kita semua penting, pimpinan di atas atau ahli kita di belakang tabir yang bekerja di kampung-kampung. Mari kita tempuh dan berjuang bersama In Shaa Allah kita dapatkan kemenangan pilihan raya ke-15,” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here