Rampas diesel bersubsidi bernilai RM25,000

0
199

POLIS menahan empat lelaki yang didapati menyimpan kira-kira 11,400 liter diesel bersubsidi bernilai hampir RM25,000 secara salah dalam serbuan di sebuah premis Chuah dan Lukut, Port Dickson, semalam.

Serbuan pada pukul 10.30 pagi itu adalah hasil risikan dan dua suspek berusia lingkungan 18 sehingga 53 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika pemeriksaan dijalankan kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang permit pemborong atau peruncit atau surat kebenaran bertulis menyimpan diesel itu.

“Mereka tidak memiliki surat yang dikeluarkan Pengawal Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga lori dan 11 tangki empat segi yang dimuatkan di bahagian belakang lori itu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata modus operandi digunakan adalah mengubah suai pelbagai jenis lori dan meletakkan tangki di bahagian muatan.

Aidi Sham berkata, suspek kemudiannya akan membeli diesel di stesen minyak untuk diisikan ke dalam tangki itu menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori.

“Apabila semua tangki itu sudah penuh, diesel berkenaan akan dibawa ke stor simpanan untuk dikumpulkan sebelum dijual pada harga industri yang membolehkan sindiket memperolehi untung ‘atas angin’,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Pada 11 Ogos lalu, KPDNHEP Negeri Sembilan berjaya menyita 17,000 liter diesel bernilai RM36,550 selepas menumpaskan satu kegiatan penyelewengan di Lukut di Port Dickson.

Difahamkan sepasukan penguat kuasa KPDNHEP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, menyerbu sebuah lokasi terpencil di Kampung Sri Parit Lukut, Port Dickson dan menahan dua suspek.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here