Isu kekurangan pekerja: Restoran, kedai mamak di Ipoh tak mampu buka 24 jam

0
451

BEBERAPA restoran atau kedai makan 24 jam yang ternama di Ipoh masih tidak mampu beroperasi sepenuhnya kerana kekurangan pekerja meskipun tempoh perniagaan dibenarkan tanpa had masa selepas negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik sejak April lepas.

Menurut laporan Bernama, keadaan ini menyebabkan perniagaan seperti restoran nasi kandar dan nasi biryani terjejas dari segi perkhidmatan dan kualiti selain merencatkan pengoperasian mereka.

Pemilik restoran nasi vanggey, Ahmad Azlan Shah Saiful Jaafar Sadik, 31, berkata premisnya yang terletak di Pusat Perdagangan Greentown hanya mampu beroperasi dari 10 pagi hingga 11 malam dengan tenaga kerja 10 orang pekerja tempatan dan warga asing.

“Restoran ini tidak mempunyai pekerja yang mencukupi jadi kami tidak dapat menjalankan perniagaan selama 24 jam seperti sebelum Covid-19.

“Saya terpaksa menguruskan pekerja kepada dua syif iaitu pagi dan petang bagi tugas pembantu dapur, mengambil dan menghantar pesanan serta mencuci,” katanya.

Sebelum ini, SatuBerita melaporkan bahawa kekurangan pekerja asing memberi impak yang besar terhadap pendapatan serta pengoperasian di restoran dan kedai makan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Govindasamy Jayabalan berkata isu ini telah mengakibatkan kira-kira 300 restoran berdaftar di bawah persatuan itu menghentikan perniagaan selain mendapati beberapa pengusaha berkongsi bahawa kutipan jualan harian semakin mengecil.

Ahmad Azlan berkata, permohonan untuk mengambil 30 orang pekerja warga asing dari Pakistan sudah dikemukan sejak empat bulan lalu dan akhirnya memperoleh kelulusan pada Julai setelah melalui pelbagai proses termasuk sesi temu duga di Jabatan Tenaga Kerja.

Tambahnya, kelulusan permohonan pekerja itu memberi harapan kepada kelangsungan perniagaan yang telah diusahakannya sejak 2008 dan berharap proses penghantaran mereka dapat dilaksanakan segera.

“Saya difahamkan proses untuk membawa mereka ke sini mengambil masa selama sebulan lebih bagi urusan pemeriksaan kesihatan dan dokumen.

“Jadi, saya sudah melakukan perancangan supaya dapat menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan yang ramai, khususnya apabila hari cuti,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik restoran nasi biryani, Abdul Hamid Abdul Mutalib, 60, berkata pihaknya masih menanti status permohonan 20 pekerja warga asing yang dibuat sejak tiga bulan lepas.

Beliau berharap kelulusan dapat diberikan segera bagi memastikan perniagaannya dapat berjalan lancar kerana kini, restoran itu hanya memiliki 10 pekerja, termasuk dua warga tempatan.

“Pelbagai usaha telah saya lakukan untuk mencari pekerja tempatan tetapi mereka tidak berminat, malah ada yang datang bekerja selama sehari atau dua hari sahaja lalu menghilangkan diri.

“Saya juga pergi sendiri ke sebuah kolej kemahiran mencari pelajar lepasan bidang kulinari untuk menawarkan pekerjaan di restoran supaya mereka dapat menimba pengalaman dalam perkhidmatan makanan tetapi hampa apabila ramai tidak berminat kerana ingin bekerja di hotel.

“Jadi saya harap kerajaan segera membawa masuk semula pekerja warga asing untuk membantu peniaga restoran seperti kami supaya dapat bertahan kerana ramai yang pulang ke negara masing-masing semasa wabak Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here