[VIDEO] Isu LCS: Bekas Panglima TLDM hadapi tiga tuduhan pecah amanah

0
541

BEKAS Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi Selasa atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berkaitan dana syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.

Menurut laporan Astro AWANI, Ahmad Ramli yang juga merupakan bekas Pengarah Urusan BNS, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga-tiga pertuduhan, dan minta dibicarakan.

@satuberita3

Adakah akan ada individu lain akan didakwa lagi selepas ini? #fyp #fypmalaysia #beritaterkini #beritaditiktok #lcs #tldm #skandallcs

♬ News – amadasounds

Mengikut pertuduhan pertama yang disediakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib, Ahmad Ramli didakwa meluluskan pembayaran sekitar RM13 juta kepada akaun Syarikat Setaria Holding Limited di Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapore 049909, antara 9 April hingga 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meluluskan pembayaran berjumlah melebihi RM1 juta ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte Ltd nombor 503-027963-201 di The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, 65 Chulia Street, OCBC Centre, Singapore 049513, antara 19 April hingga 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Ahmad Ramli didakwa meluluskan pembayaran sekitar RM6 juta ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd. nombor 017-0283-860 USD di Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapore 049909, antara 28 Oktober hingga 22 November 2020.

Ahmad Ramli didakwa meluluskan pembayaran untuk ketiga-tiga transaksi tersebut tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS, menjadikan ia satu kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan, Ahmad Ramli boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Di bawah akta tersebut, dia juga boleh dikenakan denda.

Ahmad Ramli diwakili bekas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang pernah terlibat dengan pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim Suzana Hussain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 November ini, manakala wang jaminan ditetapkan pada kadar RM500 ribu, dengan seorang penjamin warga tempatan.

Selain itu, beliau turut mengarahkan pasport milik Ahmad Ramli diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here