Guna pistol mainan samun kedai serbaneka, dua beradik ditahan

0
214

AKTIVITI dua beradik yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah Kuala Muda, Kedah sejak tiga minggu lalu akhirnya kecundang apabila mereka dicekup polis.

Perbuatan dua beradik berkenaan terbongkar apabila mereka ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Ahad 26 Jun lalu, selepas 16 jam melakukan samun di sebuah kedai serbaneka.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, sebelum itu seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam membuat laporan kedai tempat dia bekerja di Taman Setia Budi di Sungai Petani, Kedah, disamun pada 1.30 pagi.

“Ketika itu mangsa yang sedang bertugas di kaunter didatangi seorang lelaki yang ketika itu mahu membayar barang dibelinya.

“Sewaktu mangsa hendak memulangkan baki, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan sepucuk pistol dan mengacukannya ke arah mangsa dan terus mengambil semua wang di dalam laci kaunter yang berjumlah RM100 lalu terus melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda hari ini, lapor Astro AWANI.

Jelas Zaidy, polis telah melancarkan operasi berjaya mengesan dan menahan dua lelaki pada jam 5.30 petang hari yang sama selepas melakukan serbuan di tepi Sungai Pinang Tunggal, Tikam Batu, Kedah.

Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek merupakan pasangan adik beradik.

Pasangan itu masing-masing berusia 23 dan 26 tahun itu tidak bekerja dan menjalankan aktiviti samun untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah.

“Hasil siasatan lanjut abang memberitahu dia membeli pistol mainan itu untuk menakutkan mangsa ketika menyamun manakala adiknya akan menunggu di luar premis dan akan memecut motosikal selepas selesai menyamun,” ujarnya.

Menurut Zaidy, semakan rekod mendapati motosikal yang digunakan suspek dilaporkan hilang pada hari sama mereka melakukan kegiatan samun itu.

Katanya, dengan penangkapan kedua-dua suspek pihaknya dapat menyelesaikan satu kes khianat serta satu kes curi motosikal.

Polis turut merampas sepucuk pistol mainan hitam, beg pinggang biru, peralatan mencuri motosikal dan tiga plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 2.62 gram.

Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.

Kedua-dua suspek telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here