[VIDEO] Lautan manusia bukti sokongan padu terhadap PN pada PRU-15

0
482

KEHADIRAN lebih 30,000 orang pada majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan di Tanah Merah semalam merupakan petanda sokongan padu kepada PN yang bakal diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fenomena tersebut menyebabkan Padang Majlis Daerah Tanah Merah bertukar menjadi lautan manusia.

“Ini menjadi bukti penerimaan rakyat kepada satu gabungan parti politik yang matlamat perjuangan adalah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan bebas daripada penyelewengan dan rasuah serta sentiasa prihatin terhadap nasib hidup rakyat.

“Kesepakatan dan hubungan erat yang terjalin ini sudah tentunya menjadi petanda yang cukup baik bagi PN lebih-lebih lagi kita akan berhadapan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau difahamkan orang ramai mula memenuhi kawasan ini sejak pagi lagi dengan pihak penganjur menyediakan pelbagai aktiviti untuk masyarakat Parlimen Tanah Merah.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menganggap pemandangan itu sebagai luar biasa lebih-lebih lagi majlis berkenaan diadakan di luar musim pilihan raya.

Katanya, jumlah kehadiran yang begitu ramai seumpama itu biasa hanya dapat dilihat sewaktu kempen ketika pilihan raya sahaja, tetapi semalam orang ramai membanjiri kawasan padang awam ini bagi menyaksikan program bersejarah itu.

“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Datuk Ahmad Yaakob, Menteri Besar Kelantan merangkap Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan dan Pengerusi PN Negeri Kelantan yang komited dalam mendokong perjuangan PN untuk rakyat di negeri ini.

“Terima kasih dan tahniah juga kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor serta seluruh barisan kepimpinan BERSATU Negeri Kelantan yang bekerja keras bagi memastikan program ini berjalan lancar.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Tanah Merah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz selaku Pengarah program yang telah berjaya menganjurkan majlis ini dengan cemerlang sekali.

“Insya Allah, kesepakatan yang dapat dilihat antara parti-parti komponen PN terutamanya Bersatu dan PAS di negeri Kelantan akan terus memperkukuhkan PN dan mencetus gelombang sokongan padu rakyat kepada PN di seluruh negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here