13 lelaki ditahan seludup 138,000 liter diesel

0
214

SERAMAI 13 lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak diesel melibatkan rampasan sebanyak 138,000 liter dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Bauk, Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, Johor, pada Jumaat.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu yang terdiri daripada empat lelaki tempatan dan sembilan warga asing berusia 18 hingga 62 tahun itu ditahan pada pukul 11 malam menerusi Op Bersepadu Kontraban.

Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membeli diesel di sekitar negeri ini sebelum menjualnya untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk kapal dagang asing dengan harga kira-kira RM3.50 seliter.

“Mereka menjalankan sindiket (seludup minyak) ini tiga hari sekali dengan menjualnya ke pasaran gelap dengan harga lebih tinggi.

“Sindiket ini dikesan sebulan lepas dan premis (diserbu) merupakan tempat transit penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

“Turut dirampas dalam serbuan adalah satu kapal tangki asing, empat tangki lori treler, empat pam penyedut minyak, dua generator dan sebuah kereta Toyota Vios dengan nilai keseluruhan rampasan RM14.4 juta,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, lapor Bernama.

Beliau berkata seorang individu yang ditahan mempunyai rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here