Minyak masak paket, botol 5kg kurang bekalan

0
746

KEBANYAKAN kedai runcit dan pasar raya di sini kehabisan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) selain minyak masak botol lima kg turut mengalami kekurangan bekalan.

Memetik laporan BH Online, mendapati pengguna yang ingin mendapatkan minyak masak paket hanya dibenarkan membeli satu hingga dua paket bagi setiap keluarga.

Selepas pemansuhan subsidi minyak masak botol berkuat kuasa 1 Julai lalu, harga bahan mentah itu untuk lima kilogram mencecah RM50 sebotol bergantung jenama berbanding hanya RM27 hingga RM29 sebelum ini.

Peniaga runcit, Mahasan Yasar, 53, berkata, kekurangan bekalan minyak masak paket sudah lama berlaku dan berlanjutan sehingga ke hari ini dan ia menjadi semakin rumit apabila kerajaan membuat keputusan untuk menghapuskan subsidi bagi minyak masak botol bermula 1 Julai lalu.

“Bagi harga minyak masak botol saya masih lagi menjual pada harga lama walaupun kerajaan sudah menghapuskan subsidi dan tujuan harga lama masih dikekalkan adalah disebabkan tidak mahu membebankan pengguna.

“Pada masa sama, bagi menampung keperluan pengguna, pembekal hanya memberikan 30 hingga 40 kotak minyak masak paket berbanding 80 hingga 100 kotak sebelum ini dan hal ini menyebabkan saya terpaksa mengehadkan jualan kepada pelanggan,” katanya.

Seorang lagi peniaga runcit, Mohd Shahmin Mohd Kamal, 20, berkata, bekalan minyak masak paket sukar diperoleh sejak beberapa bulan lalu.

“Bagi minyak masak botol pula ia tidak banyak dijual di kedai kerana harganya mahal, lagi pun minyak masak botol kurang permintaan selain saya sendiri perlu beli dengan modal yang tinggi, namun jika ada pelanggan yang memesan baharu saya akan mengambil dengan pemborong,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Nur Amira Mohd Nasir, 33, berkata, selepas kerajaan menghapuskan subsidi minyak masak botol, dia terpaksa beralih kepada minyak masak paket disebabkan harga minyak masak botol melonjak naik.

“Pada setiap bulan saya membeli minyak masak botol lima kilogram untuk kegunaan di rumah dan kini perlu membeli stok minyak masak paket dengan banyak kerana bahan mentah ini cepat habis.

“Namun, saya amat berharap agar kerajaan dapat memantau penjualan minyak masak paket dan tindakan ini adalah untuk memastikan bekalan minyak masak paket tidak terputus selepas kerajaan membuat keputusan menghapuskan subsidi bagi minyak masak botol,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here