5 penjenayah bersenjata samun kedai serbaneka diberkas

0
332

POLIS menahan lima penjenayah yang menjadikan kedai serbaneka di sekitar Klang sebagai sasaran kegiatan samun wang tunai dan rokok secara berkumpulan.

Namun kegiatan lima penjenayah bersenjatakan parang itu tumpas menerusi Op Pencegahan Jenayah Khas-Cantas di Klang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 45 tahun ditahan di kawasan Taman Telok Gedung Indah dan Taman Sentosa, di Klang.

“Polis berjaya menyelesaikan lima kes samun membabitkan kedai serbaneka di sekitar Klang susulan penangkapan dua suspek lelaki warga tempatan, Jumaat lalu.

“Tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan aduan polis diterima pada pukul 5.35 pagi, Jumaat lalu.

“Mangsa (pekerja premis) memberitahu didatangi dua suspek yang bertindak mengacukan parang dan mengambil wang tunai dan pelbagai rokok pelbagai jenama,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Hoong Fong berkata, pada pukul 1.50 tengah hari, hari sama, polis menyerbu dua rumah dan menangkap dua suspek berumur 21 dan 22 tahun dipercayai terbabit dalam kes itu di Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

“Kedua-dua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, bagi kes samun bersenjata di pasar raya pada pukul 1 pagi, 11 Jun lalu, seramai tiga lelaki warga tempatan diberkas polis di kawasan Taman Sentosa di sini.

“Semasa serbuan, polis menjumpai parang, pakaian dan kenderaan digunakan suspek,” katanya.

Seorang suspek ditangkap adalah suspek utama yang mempunyai sembilan rekod lampau atas kesalahan samun, curi kenderaan, mendatangkan cedera parah dan memiliki senjata api, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here