[VIDEO] UMNO pernah setuju minta Zahid berundur, tetapi gagal selepas ‘digertak’ pegawai Zahid

0
374

AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan wujud memorandum untuk meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan Presiden parti.

Beliau berkata, memorandum itu susulan pertemuan diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mei 2020.

“Masa itu, kita buat satu memorandum minta Ahmad Zahid turun dengan baik demi kepentingan UMNO. Kita bersetuju buat satu memorandum minta dia turun dengan cara baik, bukan nak tendang dia.

“Ketuanya siapa? Tok Mat (Mohamad), bosku (Datuk Seri Najib Razak), kita kumpul lebih 130 ketua bahagian bersetuju. Di Perak, 18 ketua bahagian setuju,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menambah, selain Mohamad dan Najib, yang turut hadir dalam pertemuan itu ialah Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bagaimanapun, menurut Tajuddin yang dipecat sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO minggu lalu, usaha berkenaan gagal selepas Mohamad “membelot” daripada ketetapan berkenaan.

Dakwa Tajuddin, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu “digertak” oleh pegawai kanan Ahmad Zahid.

Pada sidang media itu, Tajuddin turut menunjukkan gambar pertemuan berkenaan yang dikatakan diadakan di rumahnya.

“Tok Mat setuju, Bossku setuju. Kenapa tak jadi? Sebab Tok Mat sebagai ketua dengan Bossku belot,” katanya sambil menambah gerakan itu akhirnya terkubur begitu sahaja.

Tajuddin berkata, beliau kemudiannya menghubung Tok Mat bertanyakan perkara itu.

“Tok Mat sekadar cakap dia mahu menenangkan keadaan. Jadi bagi saya, Tok Mat pun tak boleh pakai.

“Sama juga dengan Najib, dia pun hanya mendiamkan diri. Apa yang saya dengar lain pula, perjumpaan antara Najib dengan kumpulannya, mahukan Najib jadi Pengerusi BN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here