[VIDEO] ‘Saya boleh tanding Bebas’-Tajuddin

0
365

AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sedia mempertahankan kerusi Parlimennya atas tiket Bebas sekiranya dipecat daripada UMNO.

Tajuddin berkata, sokongan kepada beliau tetap kuat biarpun ketika tsunami politik berlaku pada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

“Kalau mereka (UMNO) berkasar, saya boleh berkasar tanding Bebas, masa ‘tsunami’ (politik) pun sokongan (saya) naik, tak pernah kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di ibu negara hari ini, susulan penggugurannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis lalu.

Ditanya mengenai tawaran PAS untuk beliau mempertahankan kerusi Pasir Salak dalam PRU akan datang atas tiket parti itu, Tajuddin mengakui ia satu idea yang baik.

Bagaimanapun sambil ketawa, beliau menyatakan dia tidak akan menyertai PAS.

“Boleh dipertimbangkan… not a bad idea (satu idea yang baik) tapi tak adalah saya nak masuk PAS,” katanya.

Sabtu lalu, Harakah Daily melaporkan Pesuruhjaya Perak PAS, Razman Zakaria, menyatakan bahawa Tajuddin boleh bertanding atas tiket PAS sekiranya nama Ahli Parlimen Pasir Salak itu digugurkan daripada senarai calon Barisan nasional (BN) dalam PRU-15.

Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada pengagihan kerusi antara parti di bawah Perikatan Nasional (PN) dan PAS diberikan kuota untuk bertanding di Parlimen Pasir Salak.

Tajuddin memenangi kerusi Parlimen Pasir Salak pada 2008 menewaskan calon PKR, sebelum mempertahankannya dalam dua PRU berikutnya iaitu pada 2013 dan 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here