Maritim tahan nelayan Vietnam curi dua tan hasil laut

0
285

SERAMAI 21 nelayan Vietnam termasuk tekong bersama-sama dua tan hasil laut yang dicuri di perairan negara ditahan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, kelmarin.

Maritim menahan nelayan berusia lingkungan 18 hingga 54 tahun yang menaiki sebuah bot nelayan asing itu ketika rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman di perairan Terengganu pukul 5.30 petang.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati semua kru dan tekong tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot tidak mempunyai permit menangkap ikan di perairan negara. Kita turut merampas kira-kira 1,000 liter diesel, dua tan hasil serta peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.6 juta,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Katanya, bot dan hasil rampasan serta nelayan berkenaan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk menjalani saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan perairan negara.

Katanya, orang ramai disarankan memberi kerjasama untuk membantu menangani sebarang aktiviti jenayah maritim dengan membuat aduan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kemaman ditalian 09-8581653.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here