Enam lelaki tempatan jadi mangsa sindiket penipuan kerja di Kemboja

0
189

HASRAT enam lelaki untuk mendapat gaji lumayan bekerja di Kemboja bertukar tragedi apabila dipaksa melakukan aktiviti penipuan melalui telefon sebaik tiba di negara itu.

Polis menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa berusia 19 hingga 36 tahun itu pada 20 dan 22 April lalu yang mendakwa mereka menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.

Susulan itu kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri, kertas siasatan kini dibuka dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan enam mangsa berasal dari Padawan itu di Kemboja.

“Siasatan awal mendapati semua mangsa ditawarkan peluang pekerjaan di Kemboja oleh ejen pekerjaan, bagaimanapun selepas tiba berada di negara itu mereka sedar diperdaya selepas dipaksa melakukan kerja di pusat panggilan yang melakukan penipuan menerusi telefon

“Berikutan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak membuka dua kertas siasatan berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kuching, hari ini, lapor Harian Metro.

Mohd. Azman berkata, Bahagian Urus Setia/Perundangan JSJK Bukit Aman akan mengambil tindakan menerusi Interpol untuk mengesan mangsa di Kemboja, sekali gus menjalankan tangkapan terhadap ejen terbabit.

Menurutnya, trend kes penipuan terbabit kian meningkat mengikut kajian berbanding tahun sebelumnya kerana keadaan amat memerlukan duit untuk meneruskan hidup.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu, sebanyak 666 kes dilaporkan berbanding tempoh sama pada 2021 iaitu 640 kes di mana ia meningkat sebanyak 26 kes atau 27.45 peratus,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here