KPM teliti tindakan guru siar TikTok ‘live’ dari dalam kelas

0
226

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang meneliti tindakan sewajarnya yang perlu ke atas mana-mana guru yang memuat naik rakaman sesi pembelajaran sebagai kandungan dalam laman sosial termasuk TikTok.

Menterinya, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ini kerana tindakan itu mungkin boleh mendatangkan kesan negatif terhadap pelajar.

Jelasnya, kadang-kadang cara tersebut mungkin menyebabkan murid malu untuk menjawab soalan kerana diperhatikan secara dalam talian dari seluruh pelosok dunia.

“Perkara ini kita sedang perincikan… tentang apakah pendekatan yang paling sesuai dan kita sudah maklumkan kepada guru-guru supaya elakkan berbuat demikian.

“Risiko kesan yang perlu didepani oleh pelajar juga adalah besar kerana isi kandungan video yang dimuat naik itu akan kekal selamanya,” katanya ketika hadir pada Majlis Pelancaran Generasi Penamat Anti Rokok 18 (GEGAR-18), di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, di Bangi, hari ini, lapor Astro Awani.

KPM juga katanya, akan mengeluarkan makluman perincian kepada semua guru-guru secara rasmi tentang garis panduan isu tersebut.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu membabitkan tindakan guru-guru yang lebih cenderung memilih untuk bersara lebih awal, Radzi menjelaskan bahawa KPM juga sedang melakukan penelitian terperinci sebelum membuat sebarang tindakan.

Katanya lagi, data semasa menunjukkan bahawa trend bersara awal dalam kalangan guru-guru di negara ini sejak 2017 sehingga sekarang adalah hampir sama.

“Cuma kita sedang perincikan lebih sedikit untuk mengkaji apakah punca-punca trend tersebut. Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan beri penjelasan yang lebih mendalam.

“Jadi ada orang kata ia disebabkan bermula pada waktu Covid-19, ia tidak semestinya betuk kerana trend itu bermula lebih awal sebelum berlakunya Pandemik Covid-19,” Jelasnya lagi.

KPM katanya, akan mencari jalan penyelesaian paling sesuai terhadap isu tersebut selepas berpuas hati dengan segala perincian yang diperolehi sedikit masa lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here