Berang tak dapat gaji RM1,700, lelaki tetak bekas majikan

0
184

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

AKIBAT berang selepas tidak dibayar gaji berjumlah RM1,700, seorang lelaki berusia 48 tahun bertindak menetak bekas majikannya menggunakan kapak dan pisau lipat dalam kejadian di Jalan Penang, Pulau Pinang pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun yang juga pemilik kedai foto mengalami kecederaan di tangan kanan, kiri dan bahagian belakang badan akibat ditetak di hadapan kedai foto miliknya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata,
mangsa dibuang kerja pada 12 April lalu dan sejak itu berulang kali meminta bayaran gajinya daripada mangsa.

“Bekas majikannya itu juga berjanji akan memberikan wang berkenaan tetapi disebabkan masih belum diterima, suspek yang berang bertindak menetak mangsa.

“Mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian amanat Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian dan kini sedang menunggu arahan untuk ditahan reman dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here