[VIDEO] PRU-15: Ketepikan ego atau cita-cita mahu tumbangkan BN terkubur sebelum berperang

0
342

PARTI-parti pembangkang terutamanya DAP perlu mengenepikan ego yang hanya melihat kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tiga tahun lalu adalah kesilapan parti Bersatu semata-mata, sehingga terus bermasam muka dan terus menutup pintu kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr. Rusdi Omar menegaskan, meskipun perkara itu tidak boleh dinafikan, namun DAP perlu sedar bahawa keretakkan PH ketika itu turut bermula angkara mereka sendiri.

“Apabila mereka (DAP) sudah ada kuasa, hak-hak pengundi Melayu nampaknya dinafikan pada ketika mereka menjadi kerajaan. DAP perlu sedar bahawa perkara itu berlaku ketika PH menjadi kerajaan, JASA dimansuhkan, kakitangan kerajaan dinafikan kenaikan gaji dan sebagainya lagi.

“Kalau mereka pada ketika itu bijak, PH hanya perlu sambung dan teruskan apa yang dilakukan kerajaan sebelumnya, Tapi mereka tak ambil langkah itu, mereka ambil langkah yang buat rakyat rasa tertindas secara tidak langsung,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Justeru katanya, berbanding terus menunding jari sesama sendiri, parti-parti komponen PH secara umumnya perlu menjadikan perkara itu satu pengajaran dan bermuhasabah diri bagi mempersiapkan diri sekiranya mahu menjadi kerajaan yang terbaik untuk menjaga rakyat.

“DAP juga tak bolehlah nak kata bahawa berlakunya ‘tikam belakang’ ketika itu hanya kerana Bersatu, Pas dan UMNO ingin bersama. Mereka juga perlu muhasabah diri sendiri begitu juga parti lain. Mesti ada puncanya dan di mana silap masing-masing. Lihat ia sebagai pengajaran,” ulasnya.

Bahkan, katanya sekiranya parti-parti pembangkang berkeras mahu terus menutup kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan bergerak bersendirian, itu bermakna cita-cita mereka untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) boleh dianggap terkubur sebelum berperang.

“Kalau tiada kesatuan, saya tidak nampak cita-cita itu akan tercapai. Mungkin mereka tak mahu dengan Bersatu dan Pas. Tapi mereka perlu fikir, sejarah di PRN Melaka dan Johor akan berulang di PRU-15 kalau tiada kerjasama dari PN. Masih nak jadi pembangkang kah? Takkan selama-lamanya mahu jadi pembangkang?

“Kalau betul mahu tumbangkan BN, letak ketepi ego masing-masing. Kalau mereka rasa mereka hebat, bertanding secara individu lah. Tapi saya tidak nampak peluang yang cerah dengan cara itu kalau ambil kira dua PRN yang lepas. Tanpa kerjasama parti-parti, tiada peluang mahu tumbangkan BN,” ujarnya lagi. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here