Annuar gesa Ismail dilantik sebagai pengerusi BN

0
239

AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menggesa supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN), susulan keputusan Umno untuk mencalonkan beliau sebagai perdana menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Dalam sebuah kenyataan, Annuar berkata keputusan tersebut akan membolehkan Ismail menumpukan perhatian dan mengerahkan seluruh kekuatan bagi mengembalikan semula kekuatan Umno serta memulihkan keyakinan rakyat.

“Saya berpandangan sudah tiba masanya perdana menteri turut diberi amanah sebagai pengerusi BN dan pengarah utama jentera pilihan raya BN,” katanya, memetik laporan MalaysiaNow.

“Sebagai calon perdana menteri, Ismail perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa ‘order baru’ politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti dan mampu memulihkan negara.”

Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos tahun lalu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan sokongan majoriti.

Situasi itu berpunca daripada tindakan sekumpulan ahli Parlimen yang bersekutu dengan Datuk Seri Najib Razak yang menarik balik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Ismail Sabri adalah pemimpin Umno dan anggota Kabinet yang enggan menyertai Najib serta presiden partinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kempen menyingkirkan Muhyiddin dari tampuk pentadbiran kerajaan.

Jawatan pengerusi BN kini dipegang oleh Zahid yang juga merupakan presiden Umno.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here