[VIDEO] PKR disaran berganding dengan Bersatu supaya pembangkang menang pada PRU15 

0
79

SEORANG ahli akademik menggesa PKR supaya terus membuka pintu kepada kerjasama dengan Bersatu.

Prof James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania percaya, adalah penting bagi semua parti pembangkang untuk membuka talian komunikasi dengan satu sama lain jika mereka mahu melihat Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Memetik laporan FMT, Chin menegaskan beliau tidak bersetuju dengan gesaan Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin baru-baru ini agar partinya menutup terus kemungkinan bekerjasama dengan Bersatu.

Kenyataan Razeef itu menyusuli laporan berita yang memetik Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan parti yang bukan komponen Pakatan Harapan (PH), tanpa merujuk secara khusus kepada Bersatu.

Apabila ditanya sama ada masuk akal untuk PKR memikirkan tentang kerjasama dengan Bersatu susulan peranannya dalam kejatuhan kerajaan PH, Chin berkata, tiada yang mustahil dalam politik Malaysia.

Tambahnya, pakatan yang diperbaharui adalah perkara biasa dalam politik.

“Semestinya ini akan menimbulkan kemarahan sebahagian penyokong pembangkang, terutamanya mereka yang menyalahkan Bersatu atas Langkah Sheraton, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH dua tahun lepas,” katanya.

Oleh itu, ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan dengan cara yang tidak akan menjejaskan sokongan kepada pembangkang.”

Beliau berkata, Bersatu akan membantu menarik sokongan daripada pengundi Melayu luar bandar.

Memetik kekalahan besar PH dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) yang menyaksikan parti pembangkang bertelagah sesama sendiri, Chin memberi amaran bahawa perpecahan antara parti pembangkang akan mendorong kemenangan BN dalam PRU.

Pada PRN Johor, BN memenangi 40 kerusi, manakala PH menang 12, Perikatan Nasional (PN) tiga dan Muda satu.

PH juga mencatat prestasi buruk pada PRN Melaka dan Sarawak, dengan memenangi masing-masing lima dan dua kerusi.

Bagaimanapun, felo Majlis Profesor Dr Jeneri Amir memberitahu FMT, bahawa beliau percaya undi pembangkang akan pecah jika PKR bekerjasama dengan Bersatu kerana impak Langkah Sheraton terlalu besar.

“Ia akan memburukkan lagi keadaan kerana Bersatu bukan sahaja mengkhianati PH tetapi juga mandat rakyat,” katanya.

“Bersatu juga bukan parti yang kuat dari segi jenteranya dan tidak ramai ahli.”

Sebaliknya, katanya, PKR harus bekerjasama dengan parti-parti lain seperti Muda dan Warisan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here