Polis tahan dua lelaki, tanam ganja dan miliki ketum

0
301

POLIS menahan dua lelaki dan merampas ganja serta ketum, bernilai kira-kira RM10,000, dalam serbuan di Taman Menteri di Taiping, Perak pada Rabu lepas dan di KM 212.1 Lebuhraya Utara Selatan, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Menteri, seorang lelaki berumur 42 tahun ditahan di belakang rumah.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan tiga pasu pokok ganja, enam paket plastik berisi daun ganja kering dan enam tiub biji benih ganja yang disorok dalam pasu.

Osman berkata, nilai keseluruhan rampasan adalah RM2,400 dan siasatan mendapati suspek membeli biji benih ganja secara dalam talian, manakala pokok ganja itu ditanam sejak enam bulan lalu.

“Hasil semakan rekod lampau, suspek mempunyai sembilan kes berkaitan dadah dan suspek ditahan  reman tujuh hari mulai 14 April hingga 20 April serta kes disiasat mengikut Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di Taiping, hari ini.

Katanya lelaki itu yang tidak mempunyai pekerjaan dan masih bujang juga didapati positif ganja.

Sementara itu dalam kes kedua, polis peronda Lebuhraya Bandar Baharu-Changkat Jering telah menahan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di KM 212.1 Lebuhraya Utara Selatan pada 8.15 pagi semalam yang dipandu seorang lelaki berumur 40 tahun.

Osman berkata, pemeriksaan lanjut menemukan beg plastik berwarna hitam disyaki mengandungi daun ketum bernilai RM7,200.

Beliau berkata lelaki itu, yang dipercayai baru terlibat dengan kegiatan penjualan daun ketum, sedang membawa bahan itu dari Kedah ke Seremban dengan upah RM2,000 bagi satu perjalanan.

Katanya suspek tidak mempunyai rekod lampau jenayah dan direman empat hari mulai hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here