Raih pendapatan lumayan proses ketum belakang rumah

0
392

SEORANG lelaki yang memproses dan menjual air ketum di belakang rumahnya di Kampung Banggol Kambing, Pendang ditahan dalam serbuan dilakukan pihak polis pada pukul 12 tengah malam tadi.

Semasa serbuan dilakukan lelaki berusia 30-an itu dipercayai baru selesai memproses air ketum sebelum membungkusnya untuk dijual kepada pelanggannya di sekitar kampung itu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas dua bungkusan plastik lutsinar berisi daun hijau disyaki daun ketum dianggarkan seberat tiga kilogram dan 20 bungkusan plastik lutsinar yang berisi cecair disyaki air rebusan daun ketum yang dianggarkan seberat 5,000 mililiter (ml).

Turut dirampas, peralatan untuk memproses air ketum iaitu tong gas, sebuah periuk besar, sebuah dapur gas memasak yang disyaki digunakan untuk memasak air daun ketum dan tiga bungkusan plastik lutsinar yang berisi paket plastik lutsinar yang disyaki digunakan untuk membungkus air daun ketum.

“Selain itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM7,120 yang disyaki adalah wang hasil daripada penjualan air ketum. Lelaki terbabit mengaut untung lumayan dengan menjual air ketum.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai memproses air ketum berkenaan di belakang rumahnya itu dan menjual kepada pelanggan tetap di kampungnya dengan sebungkus RM5,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

Suspek kini direman di lokap Balai Polis Pendang dan kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here