Justin Bieber gagal menang Grammy, We Are diangkat Album Terbaik

BEBERAPA nama penyanyi besar dunia pulang dengan hampa apabila mereka gagal membawa pulang trofi sempena Anugerah Grammy 2022 yang berlangsung pada Ahad.

Justin Bieber antara penyanyi yang gagal membawa pulang apa-apa kategori meskipun dia antara penyanyi yang paling banyak dicalonkan untuk kali ini.

Justin Bieber turut membuat persembahan pada Anugerah Grammy tahun ini.

Bieber tercalon dalam beberapa kategori termasuklah Album Terbaik Sepanjang Tahun, Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik Sepanjang Tahun.

Jumlah pencalonan yang diterima olehnya bersamaan dengan jumlah yang diterima oleh penyanyi baharu Olivia Rodrigo-bintang baharu yang mencuri tumpuan dunia.

Meskipun tidak berjaya memenangi sebarang trofi kali ini, Bieber sempat menghiburkan Grammy kali ini dengan persembahan lagu Peaches bersama Giveon dan Daniel Ceaser.

Tahun ini beberapa nama besar diangkat sebagai pemenang termasuklah Jon Batiste yang mengungguli kategori Album Terbaik Sepanjang Tahun menerusi album We Are, kategori paling diidamkan oleh kebanyakan artis.

Antara album lain yang bertanding terdiri daripada Black Of My Mind (HER), Montero (Lil Nas X), Evermore (Taylor Swift) fan Donda (Kanye West).

“Untuk semua calon, kita telah melalui pengalaman bermain muzik dan saya sangat hargainya. Trofi ini untuk semua artis dan pemuzik yang sebenar. Jadilah diri sendiri,” Batiste ketika menerima trofi kemenangan.

Lagu Terbaik Sepanjang Tahun pula dimenangi oleh Silk Sonic dengan lagu Leave The Door Open selain turut menyapu kategori Rakaman Terbaik.

Billie Eilish

Bagi kategori Persembahan Solo Terbaik pula dimenangi oleh Olivia Rodrigo dengan lagu Drivers Licence dan Duo/Grup Terbaik pula dimiliki oleh Doja Cat ft. SZA.

Anugerah Grammy 2022 yang berlangsung di MGM Grand Garden Arena, Las Vegas turut dimeriahkan dengan persembahan BTS, Brother Osborne, Lil Nas X, Billie Eilish dan ramai lagi.