[VIDEO] Ketua Whip BN tak buat kerja, Ismail Sabri dapat aib

0
509

Pagi tadi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan 11 perenggan melalui Facebook rasminya dengan kesimpulan, kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui partinya mesti menamatkan memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang.

Ia rentetan kegagalan melanjutkan tempoh kuat kuasa subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi tempoh lima tahun lagi di Dewan Rakyat, petang semalam.

Ahmad Zahid menutup kenyataan itu dengan perenggan yang berbunyi: “Yang pasti, apa yang berlaku ini (kegagalan usul Sosma 2012) adalah sesuatu yang memalukan kerajaan.

“Ia adalah aib yang menuntut kita untuk mengukuhkan diri dengan cara yang strategik dan segera.”

Tidak dinafikan ia sangat memalukan kerajaan kerana dalam sejarah negara, tidak pernah lagi usul daripada kerajaan gagal di Parlimen.

Pun begitu, keaiban itu boleh dielakkan sekiranya Ahmad Zahid sendiri yang merupakan ketua whip Barisan Nasional (BN) sejak Mei 2020 memainkan peranannya dengan cekap.

Buletin Parlimen Malaysia edisi Jubli Emas Parlimen Malaysia 1959–2009 menyatakan ketua whip dan pembantu whip di Parlimen bertanggungjawab memastikan ahli-ahli Parlimen dimaklumkan tentang urusan Parlimen, di samping mengekalkan undi parti dengan memastikan ahli-ahlinya menghadiri perbahasan mengenai sesuatu isu penting.

Jadi, tidaklah keterlaluan jika kita membuat kesimpulan bahawa kegagalan usul kerajaan yang diterajui perdana menteri daripada UMNO dan BN semalam, turut disumbangkan oleh kelemahan Zahid sebagai ketua whip parti itu.

Lebih janggal, Ahmad Zahid sendiri didapati “ponteng” sesi berkenaan bersama beberapa tokoh penting UMNO lain seperti Najib Razak dan Ahmad Maslan.

Memandangkan kerajaan mempunyai MoU dengan Pakatan Harapan (PH), Ahmad Zahid sebagai Ketua Whip BN sepatutnya sudah berkomunikasi dengan Ketua Whip PH, Johari Abdul atau ketua pembangkang yang diiktiraf sebagai gurunya, Anwar Ibrahim sama ada usul itu mahu diputuskan melalui undi blok (belah bahagi) atau cukup sekadar undi suara.

Maklumat itu seterusnya perlu dimaklumkan kepada ketua-ketua whip parti kerajaan lain untuk tindakan selanjutnya dan sebagai Ketua Whip, Ahmad Zahid sepatutnya mengarahkan pegawainya menghubungi ahli Parlimen BN dan meminta mereka bersedia untuk proses pengundian.

Adalah mustahil Ahmad Zahid tidak tahu peranan ketua whip kerana sebelum lantikan bermula Mei 2020, beliau pernah menggalas tanggungjawab itu pada 2015 hingga 2018.

Seorang bekas ahli Parlimen BN dari Perak yang ditemui penulis lewat malam tadi turut yakin kekalahan usul Sosma 2012 tidak akan berlaku jika ketua whip BN berfungsi dengan efisien.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sewaktu Mohamed Nazri Aziz menjadi timbalan ketua whip BN yang disifatkannya sebagai amat cekap dan cemerlang.

“Pegawai Nazri ada semua nombor pegawai ahli Parlimen kerajaan dan pegawai menteri. Dia akan buat peringatan tentang undi terhadap usul, siap dengan pukul berapa undian dijangka berlaku.

“Malah kalau tak cukup kuorom sekalipun, Ketua Whip BN boleh kawtim dengan Speaker untuk lengahkan waktu pengundian. Ada macam-macam cara boleh buat, salah satunya dengan tambah pembahas atau cetuskan pertikaman lidah.

“Ini semua kerja Ketua Whip BN, dia yang sepatutnya susun strategi, ini bukan kerja PM,” katanya.

Justeru, tidak peliklah kenapa beberapa pemimpin PH secara terbuka mengakui mereka tidak menyangka berjaya menggagalkan usul berkenaan.

Rupa-rupanya ada orang tak buat kerja!

Saladin Hasan Salleh

Artikel ini pertama kali disiarkan di portal MalaysiaNow pada Khamis, 24 Mac 2022.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here