CAP bimbang kit ujian kendiri, calitan hidung Covid-19 beri ujian berbeza

0
254

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan dengan peningkatan aduan daripada orang ramai berhubung keberkesanan ujian kit kendiri Covid-19 yang memberikan keputusan berbeza dengan ujian calitan hidung.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadeer berkata, orang ramai mengadu ujian calit hidung menunjukkan mereka positif Covid-19 sementara ujian air liur menunjukkan keadaan sebaliknya iaitu negatif.

“Mereka melakukan sendiri ujian itu berikutan ahli keluarga mereka positif Covid-19 dengan bergejala sementara yang lain melakukannya kerana mereka juga mempunyai gejalanya.

“Namun, dalam kedua-dua kes, hasil ujian menunjukkan negatif palsu dalam ujian air liur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Apa yang dibimbangkan tambah Mohideen, jika kit ujian kendiri kurang sensitif dengan memberikan hasil negatif yang palsu, orang mungkin beranggapan gejala yang dialami tiada kaitan dengan Covid-19.

Keadaan itu ujar beliau, membuatkan mereka mungkin tidak menjalani kuarantin diri dengan itu menyebarkan virus tersebut dalam komuniti.

“Satu hal lagi yang dibimbangi juga ialah penghidap asma yang hasil ujian kendiri menunjukkan negatif palsu mungkin tidak melakukan kuarantin diri,” katanya.

Justeru ujarnya, tindakan kerajaan menyerahkan tanggungjawab kepada orang ramai untuk melakukan sendiri ujian mengesan covid tidak berkesan untuk mengasingkan mereka yang dijangkiti dari orang lain.

Dalam masa sama kata beliau, tindakan bergantung kepada laporan kendiri KKM juga memberikan perbezaan yang besar dalam pengumpulan statistik.

“Jika benar kit ujian kendiri itu tidak sensitif, maka kenapa pihak KKM meminta masyarakat melakukannya sendiri?

“Orang yang perlu mempunyai kontak sosial ketika bertugas telah membeli dan menguji diri mereka sendiri dari semasa ke semasa.

“Mungkin pihak kementerian perlu meyakinkan mereka bahawa perbuatan mereka adalah sia-sia sahaja. Jika ujian air liur tidak sesensitif calitan hidung, mengapakah mereka perlu mendapatkan kit ujian air liur jika ia sememangnya tidak memenuhi tujuannya?” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa bimbang mengenai virus baharu yang mungkin dibawa masuk ke negara ini apabila sempadan dibuka sekiranya kit ujian berkenaan tidak cukup sensitif untuk mengenal pasti pelancong yang dijangkiti dan menghalang mereka daripada masuk ke negara ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here