Beri kuota khas bantu PMKS rekrut pekerja asing

0
358

KUOTA khas kepada agensi pekerjaan swasta diperlukan bagi membantu majikan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merekrut pekerja asing.

Saranan itu disurakan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA).

Setiausaha Agung PAPSMA, Dr. N. Sukumaran berkata, kuota khas kepada agensi pekerjaan termasuk 501 agensi berdaftar dalam kategori C di bawah Kementerian Sumber Manusia itu bagi membantu majikan dalam urusan permohonan menerusi sistem FCWMS.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan majikan PMKS itu gagal memenuhi keperluan yang disyaratkan dalam permohonan sekali gus menafikan peluang mendapatkan pekerja asing.

Jelasnya, isu tersebut turut diakui sendiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bahawa ada majikan hadapi kesukaran memohon secara dalam talian menggunakan sistem tersebut.

“Jadi kita akan galakkan majikan PMKS itu menggunakan kuota ini yang diperoleh agensi pekerjaan swasta sebagai fasilitator untuk membantu mereka merekrut pekerja asing.

“Langkah ini sebagai usaha membantu mereka dalam menyambung perniagaan mereka atau menghidupkan semula selepas ada yang terpaksa gulung tikar akibat pandemik COVID-19 selain mempunyai masalah tenaga kerja tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAPSMA, hari ini.

Mengulas lanjut, Sukumaran menegaskan usaha memberikan kuota khas itu adalah bagi mengelak mana-mana majikan menggunakan khidmat ejen-ejen haram yang cuba mengaut keuntungan berlipat ganda.

Beliau berkata, kewujudan kira-kira 10,000 ejen haram ini boleh menjejaskan nama baik negara apabila timbul isu yang menyalahi undang-undang sekali gus membuka risiko aktiviti pemerdagangan manusia.

Malah, Sukumaran berkata, ejen-ejen haram berkenaan telah menjual nama agensi pekerjaan swasta yang sah dan menyalahgunakannya bagi menarik minat majikan.

“Kami berterima kasih kepada pihak menteri kerana memberi galakan kepada majikan untuk menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta kategori lesen C ini yang mempunyai wang jaminan berjumlah RM250,000 dengan kerajaan.

“Justeru, kami yang turut diiktiraf kedutaan asing negara sumber memberikan jaminan akan melaksanakan perkhidmatan ini secara telus, integriti dan beretika seterusnya melicinkan proses permohonan para majikan agar urusan pengambilan pekerja asing berjalan dengan baik,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here