Polis panggil 10 pemandu kereta mewah halang lalu lintas

0
386

Oleh RAHIMI MOHAMAD

SERAMAI 10 individu yang juga pemandu kereta mewah akan dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung insiden konvoi yang menghalang laluan di susur keluar Sedenak, Kulai, Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis akan membuka tiga kertas siasatan iaitu membabitkan kesalahan merusuh, menghalang lalu lintas serta memandu secara melulu.

“Saya telah arahkan Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow melakukan siasatan terperinci,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan awal mendapati punca insiden terbabit disebabkan wanita yang memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipercayai panik sebelum berlaku perlanggaran.

Malah, kata beliau, wanita berusia 28 tahun itu turut dipukul pemandu kenderaan mewah ketika berada di Kilometer 34 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak, pada pukul 6.10 petang.

Terdahulu, pemandu wanita berkenaan yang ditahan pada pukul 1 pagi semalam kini direman selama tiga hari selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial satu video berdurasi 1 minit 14 saat yang menunjukkan sebuah Ford Ranger dipandu secara merbahaya sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan sebuah kenderaan daripada kumpulan konvoi kereta mewah.

Pemandu Ford Ranger itu dipercayai cuba memotong konvoi secara zig zag sebelum berlanggar dengan salah sebuah Lamborghini ketika cuba memasuki lorong kiri.

Disebabkan pelanggaran itu, peserta konvoi berkenaan tidak berpuas hati dan menghentikan kenderaan di tengah-tengah lebuh raya sebelum berlaku selisih faham antara mereka. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here