Dadah lebih setengah juta dirampas bersama enam lelaki

0
351

Oleh RAHIMI MOHAMAD

ENAM lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah ditahan polis dalam lima serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Kulai, Johor pada Sabtu lalu.

Dalam operasi bermula pukul 7 hingga 9.40 malam itu, kesemua lelaki yang diberkas melibatkan mereka yang berusia antara 32 hingga 46 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sejumlah 127.73 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah termasuk heroin, syabu , ganja serta magic mushrooms bernilai RM796,270 dirampas.

“Modus operandi sindiket ini adalah mengubah suai kereta dan lori iaitu tempat duduk penumpang untuk menyembunyikan dadah sebelum diedarkan.

“Bekalan dadah ini dipercayai diseludup dari negara jiran di sebelah utara dan dipasarkan di negeri ini serta negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenama Baretta bersama satu kelopak dan enam butir peluru hidup.

Jelasnya, selain itu, enam buah kenderaan disita serta pelbagai mata wang asing bernilai RM235,584.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek ditahan positif dadah jenis methamphetamine selain tiga daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 20 hingga 26 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here