PAS berlapang dada terima keputusan PRN Johor

0
457

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hati yang lapang.

Katanya parti itu yang bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN) akan terus menyantuni rakyat berdasarkan peningkatan sokongan yang ketara di kebanyakan kerusi yang ditandingi.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta jentera parti yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat.

“Pas turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon Perikatan Nasional, khususnya yang dikemukakan oleh Pas.

“Sokongan yang diberikan adalah amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan, demi kemaslahatan negeri dan negara,” kata beliau dalam kenyataan yang dikongsi di halaman Facebooknya.

Dalam PRN Johor semalam, Barisan Nasional (BN) menawan 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undagan Negeri Johor yang ditandingi, manakala Pakatan Harapan memenangi 11 kerusi, PN memenangi tiga dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta PKR masing-masing berjaya meraih satu kerusi – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here