Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga S.Sivabalan

0
419

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pemain hoki kebangsaan S.Sivabalan yang meninggal dunia semalam. 

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara menerusi catatan di akaun Facebook rasmi hari ini berkata Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini. 

“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara,” menurut catatan itu.

Bernama sebelum ini melaporkan Sivabalan meninggal dunia ketika menyertai satu pertandingan hoki di Bandar Siber, Simpang Pulai dekat Ipoh semalam.

Mendiang yang berusia 59 tahun dilaporkan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri semasa berhenti rehat pada pukul 3.30 petang dan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Sivabalan pernah mewakili skuad hoki kebangsaan pada era 80-an dan turut bermain untuk pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang pada era 90-an dikenali sebagai Kelab Kilat.– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here