Polis tahan lelaki pukul anak tiri selepas video tular 

0
444

POLIS menahan seorang lelaki selepas video menunjukkan dia mendera seorang kanak-kanak secara fizikal, sementara seorang wanita cuba melindungi kanak-kanak itu tersebar luas di media sosial.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Siti Kamsiah Hassan berkata, lelaki itu adalah bapa tiri kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terbabit.

“Mangsa ditampar dan tangannya dipegang suspek yang merupakan bapa tiri mangsa.

“Ibu mangsa baru sebulan berkahwin dengan suspek. Suspek telah ditahan dan direman,” katanya, memetik laporan Malaysiakini.

Tambahnya, suspek disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Video berdurasi 2 minit 50 saat itu memaparkan suspek memegang kedua-dua tangan mangsa yang sedang menangis dan menamparnya.

Video itu kelihatan dirakam tanpa pengetahuan lelaki itu dari satu sudut dari sisi sofa di tempat kejadian.

Lelaki itu kelihatan memarahi kanak-kanak sebelum dia secara tiba-tiba menamparnya sehingga rebah.

Seorang wanita kemudian segera meluru untuk membantu kanak-kanak itu tetapi dia ditolak oleh lelaki itu. Dia kemudian merayu lelaki itu supaya berhenti memukul kanak-kanak itu.

Suspek turut dilihat memulas lengan kanak-kanak dan wanita itu sekali lagi mendekati dan menarik mangsa bagi menjauhkannya dari suspek.

Dia kemudian berlari ke sebuah bilik dengan membawa kanak-kanak itu sambil diekori suspek.

Kelibat mereka hilang daripada rakaman tetapi suara wanita itu boleh didengar menjerit ketika budak lelaki itu menangis, disusuli dengan bunyi dentuman.

Lelaki itu didengari menjerit perkataan sama secara berulang kali kepada kepada wanita berkenaan, namun pergerakan mereka tidak terakam.

Lelaki itu kemudian dilihat menolak wanita dan kanak-kanak itu ke sofa sebelum dia cuba memukul kanak-kanak itu yng berada dalam dakapan wanita itu.

Wanita kemudian menjerit ke arahnya dan cuba melindungi kanak-kanak itu.

Setakat ini, maklumat lokasi kejadian itu tidak didedahkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here