Muda belum ada perjuangan yang boleh diukur

0
351

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendirian bahawa Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) belum mempunyai perjuangan yang boleh diukur oleh rakyat.

Presiden Bersatu itu berkata, parti berkenaan dilihat tidak berstruktur namun beliau menghormati hak serta keputusan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sistem demokrasi negara termasuk keterlibatan MUDA pada PRN Johor.
 
“Dia (Syed Saddiq) berani untuk tawar beberapa muka (calon) baharu (untuk bertanding PRN Johor), maka terserah kepada pengundi,” katanya ketika diminta memberi reaksi berkenaan keputusan MUDA meletakkan calon di medan tempur PN.

Beliau ditemui pemberita selepas program Ramah Mesra Warga Felda di Felda Taib Andak di Kulai, Johor pada Rabu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Isnin lepas, Syed Saddiq dilaporkan berkata MUDA akan bertanding di kerusi yang sebelum ini dimenangi Barisan Nasional dan Bersatu serta langkah tersebut bagi mengelak berlaku pertembungan kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Harapan.

SPR menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian, penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal pada 8 Mac . – Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here