Ashira minta dana, netizen pula panas

0
570

Penyanyi Ashira kini sedang mencari dana sebanyak RM30,000 untuk perbelanjaan dan persiapannya ke pertandingan World Champion Of Performing Arts (WCOPA) yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS).

Dia yang bakal ke sana Julai nanti gembira apabila terpilih dalam sesi uji bakat yang diadakan seterusnya bakal mewakili negara dalam kategori vokal senior.

“Alhadulillah sudah rezeki saya. Pada awalnya saya hanya mencuba sekadar suka-suka. Tak sangka pula terpilih sampai mewakili negara.

“Mereka pun baru umumkan dan saya akan ke sana bersama empat peserta lain. Siapa tidak bangga dapat mewakili negara,” katanya.

Namun apa yang memeningkan kepalanya apabila terpaksa mengumpulkan dana sendiri untuk ke sana.

Jelasnya, dia sedang mengumpulkan dana dan mengharapkan bantuan daripada pihak yang sudi dan percaya kepada bakat penyanyi yang popular dengan lagu Di Ombak Resah ini lagi.

“Saya harap pada yang sudi untuk membantu saya mengumpul dana. Saya ke AS pun untuk bertanding dan membawa nama Malaysia. Pada sesiapa yang percaya pada bakat saya, harap dapat membantu,” tambahnya lagi.

Namun perkongsian yang dibuat oleh Ashira mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Ada yang kurang senang dengan niatnya itu dan tak kurang juga yang mahukan dirinya menjaga suaminya, Bad Indigo yang kini menghidap diabetes.

“Ingatkan untuk rawatan suami dia tapi untuk pertandingan nyanyian rupa-rupanya,” tulis Eyta Zainol.

“Baik biaya perubatan dia suami yg sakit,” tulis sorang netizen lain yang kurang senang dengan ‘permintaan’ Ashira untuk mencari dana tersebut.

Namun dia tetap menerima komen positif daripada ramai peminat lain yang berharap dia mampu ke sana seterusnya mengubah nasib keluarganya.

Untuk rekod, WCOPA merupakan pertandingan bertaraf Olimpik untuk bidang seni yang mengumpul bakat-bakat dari seluruh dunia.

Antara artis tempatan yang pernah menyertai WCOPA termasuklah Allahyarham Siti Sarah, Bob Yusof, Asmidar dan Aina Abdul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here