PRN Johor perancangan strategik BN bebas ‘kluster mahkamah’, kata Hilman

0
209

UMNO perlu menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat diadakan, kata Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor Muhammad Hilman Idham.

Hilman berkata, PRN Johor yang akan diadakan 12 Mac depan merupakan perancangan strategik Barisan Nasional (BN) bagi membebaskan pemimpinnya yang terkait dengan salah guna kuasa dan jenayah rasuah.

“PRN Johor yang bakal diadakan mulai akhir minggu ini adalah hasil perancangan BN untuk membebaskan pemimpin kluster mahkamah mereka daripada pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

“UMNO terdesak untuk menghalalkan tindakan mereka bagi mengadakan PRU dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi,” katanya seperti dilaporkan FMT.

ADUN Gombak Setia itu turut berkata, sekiranya UMNO menang pada PRN kali ini mereka akan cuba meyakinkan perwakilannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk mengadakan PRU-15 dengan kadar segera sebelum pemimpin kluster mahkamah dijatuhi hukuman.

“Kluster mahkamah sedang terdesak untuk membebaskan diri mereka. Mereka sedar bahawa dengan adanya pemimpin PN dalam Jemaah Menteri hari ini, tidak mudah untuk mereka membebaskan diri,” katanya.

Hilman yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa yakin rakyat Johor sedar mengenai usaha yang dilakukan BN.

“Kita seharusnya memberikan fokus kepada usaha menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara kerana dalam keadaan krisis, kesejahteraan dan kebajikan rakyat adalah keutamaan kita.

“Maka saya mengajak rakyat Johor untuk bangkit menolak BN kerana memilih BN bermakna kita memilih untuk membebaskan kluster mahkamah,” katanya.

Tambahnya lagi, PN sentiasa mempertahankan integriti dan tidak akan bersekongkol dengan pemimpin UMNO yang terkait dengan salah guna kuasa dan jenayah rasuah apatah lagi untuk membebaskan mereka daripada hukuman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here