Calon MB Johor sudah ada, tunggu saja – Muhyiddin

0
315

CALON Menteri Besar Johor dari Perikatan Nasional (PN) sudah ada dan akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, soal siapa bakal diangkat sebagai menteri besar jika menang PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak perlu diperdebatkan kerana perkara itu sudah disusun atur secara baik.

“Siapa nak jadi MB Johor? Itu bukan isu, tak ada masalah. Isha Allah ia akan diumumkan dalam masa akan datang. Kita bagi jaminan, calon kita semuanya ada pendidikan sesuai dan dan layak,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran PN Johor di Padang Awam, Taman Pasak Indah, Kota Tinggi, malam tadi.

Mengulas lanjut, katanya Pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen PN sudah dimuktamadkan dan perkara itu berjaya diselesai tanpa sebarang perbalahan atau perselisihan faham antara parti gabungan berkenaan.

“Tiada pergaduhan dan kesemua 56 kerusi sudah selesai. Senarai calon yang akan dikemukakan juga sudah dimuktamad dan kita akan serahkan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi dan akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

“Ini memang langkah biasa yang kita lakukan untuk memastikan semua calon disemak,” katanya.

Turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta barisan kepimpinan tertinggi parti-parti komponen PN.

Pada majlis berkenaan bekas perdana menteri itu turut melancarkan lagu rasmi PN berjudul ‘Kami Perikatan Nasional’.

PRN Johor dijadualkan pada 12 Mac ini dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Februari ini, manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Muhyiddin berkata, ketika ini dianggarkan 700,000 pengundi baharu layak mengundi pada PRN Johor dengan lebih daripada 170,000 berusia 18 hingga 21 tahun.

“Tanggungjawab ,kita adalah memastikan mereka keluar mengundi dan memilih PN. Apa yang penting ialah bagaimana jentera kita bekerja untuk membina keupayaan yang lebih baik,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here