19 PATI ditahan termasuk tekong, pemandu van persiaran

0
356

SERAMAI 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan bersama seorang tekong darat warga Thailand, di dalam sebuah van persiaran jenis Era Komuter di Kampung Lubok Kawah, Pasir Mas, Kelantan, pukul 5.45 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya turut menahan pemandu van tersebut yang berusia 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung penahanan PATI berkenaan.

“Sekitar pukul 5 pagi pihak polis telah membuat rondaan sejurus menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan migran di kawasan Kampung Siram, Pasir Mas.

“Semasa melakukan rondaan, anggota berkenaan telah terserempak dengan sebuah van persiaran berwarna putih hijau dan kereta jenis Audi A4 berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada jam 5.45 pagi.

“Menyedari kehadiran anggota polis, kedua-dua kenderaan tersebut cuba melarikan diri. Bagaimanapun van persiaran berjaya ditahan di Kampung Lubok Kawah sementara kereta Audi A4 gagal dikesan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas van persiaran tersebut menemui sembilan wanita dan 10 lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Beliau berkata, van persiaran tersebut dipandu oleh seorang lelaki tempatan dari Padang Serai, Kedah.

Katanya, hasil siasatan terhadap pemandu tersebut pihaknya berjaya menahan seorang warga Thailand berusia 42 tahun dipercayai menjadi tekong yang membawa masuk PATI ke negara ini.

“Kesemua suspek telah ditahan di bawah Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here